Hadiah Untuk Annuar: Piya
Kota Bharu: Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi mahu menghadiahkan kemenangan menentang FELDA United dalam saingan Liga Super, malam ini kepada Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang berjaya memenangi kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kelmarin.
Mohd Badhri atau lebih mesra dengan panggilan Piya turut menegaskan selain menghadiahkan kemenangan itu kepada Annuar, tiga mata dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV itu penting buat The Red Warriors (TRW) memperbaiki kedudukan dalam liga.
Pemain tengah berusia 30 tahun itu berkata, ganjaran bonus dan lot tanah yang diterima minggu lalu menjadi suntikan semangat buatnya dan rakan sepasukan beraksi dengan baik dan memburu kemenangan.
“Tahniah kepada Tan Sri (Annuar Musa) yang berjaya memenangi kerusi Parlimen Ketereh dan saya selaku kapten TRW akan cuba memberi kemenangan kepada Kelantan untuk perlawanan malam ini sebagai hadiah berganda buat beliau.
Peluang tipis
“Selain itu, kemenangan penting untuk pasukan membaiki kedudukan dalam liga untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima pasukan terbaik,” katanya semalam.
Selain itu, Piya mengakui peluang untuk TRW mengekalkan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu semakin tipis kerana Kelantan kini menduduki tempat kesembilan liga dan ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Lions XII.
“Memang tidak dinafikan peluang untuk kami mengejar kejuaraan liga musim ini semakin mustahil, namun apa saja boleh berlaku dan kami akan berjuang sehingga ke perlawanan terakhir.
“Musim ini adalah musim paling sukar buat kami kerana kebanyakan pasukan kuat, ditambah pula dengan jadual yang padat,” katanya.
Saya harap seluruh penyokong TRW terus memberi sokongan padu kepada Kelantan,” katanya.
Sumber suaragenerasibaru
No comments:
Post a Comment