Pages

Friday, 24 May 2013

WAJIB BACA!!! AHLI UMNO MESTI BACA. MAI RISIK


AHLI UMNO WAJIB BACA !!!UMNO Bakal Tumbang PRU15 Jika Tidak Berubah.


OLEH : TOK GURU 86




Saki baki bahang PRU13 masih lagi dirasai oleh rakyat Malaysia terutama politikus-politikus yang menjadi watak utama dalam peperangan baru-baru ini. Analisa demi analisa telah dikeluarkan oleh beberapa pihak selepas keputusan PRU13 dibaca.

Bagi pihak yang menang, sudah pasti mereka menarik nafas lega kerana masih bertahan menjadi kerajaan kepada negara Malaysia. Bagi pihak yang menanggung kekalahan, mereka mencari seribu alasan dan menyalahkan orang lain di atas kekalahan mereka.

Bagi pihak pembangkang, sudah menjadi rutin kepada mereka untuk berpolitik sepanjang masa tidak kira di mana mereka berada. Seperti PRU yang lepas-lepas, hari ini keluar keputusan, pembangkang akan mula berkempen esok hari untuk PRU yang akan datang.

Gerak kerja kempen pembangkang untuk PRU14 sudah dimulakan oleh pihak mereka. 5 Mei SPR umum keputusan PRU13, 6 Mei mereka sudah mula jelajah Malaysia melancarkan ceramah umum.

Pastinya, ceramah umum itu bukanya semata-mata ingin membawa prosiding kepada SPR bagi membantah keputusan PRU13, tetapi inilah langkah awal mereka untuk berperang pada PRU14.

Pendek kata, pembangkang di Malaysia tidak ada kerja lain melainkan berpolitik 24 jam 1 hari 30 hari sebulan 365 hari setahun. Mereka ada strategi yang cukup hebat berbanding UMNO BN.

PAS akan menyusun ceramah umum di kampung-kampung Melayu. DAP akan berpolitik melalui laman sosial dengan tertubuhnya Red Bean Army manakala PKR berpolitik dengan kuasa asing bagi mencari dana untuk menampung gerak kerja mereka.

Kata orang tua, orang kalah akan bekerja keras untuk menang, manakala orang menang akan "over confident" dan kurang kerja. Inilah realiti politik Malaysia. Pembangkang akan kerja sepenuh masa, manakala UMNO/BN akan kerja minit yang terakhir.

Apapun, sebelum saya menulis panjang saya mohon maaf kerana menegur UMNO/BN melalui laman blog. Tetapi teguran ini disebabkan saya juga sayangkan UMNO/BN yang menjadi wadah perjuangan utama Melayu Islam di Tanah Melayu.




Kita tidak mahu UMNO/BN hanya menang sorak tetapi sedikit demi sedikit tanah dan maruah semakin tergadai. Kita tidak mahu UMNO terutamanya menjadi jaguh kampung.

UMNO harus berada dekat dengan rakyat terutama pengundi saluran 3,4,5 dan seterusnya. Mungkin PRU14, pengundi saluran 1 dan 2 masih setia dan akan terus memilih BN, tetapi kita bimbang PRU15, mereka akan meninggalkan dunia ini dan yang mengambil alih tempat mereka adalah anak muda belasan tahun yang ada hari ini.

Penganalisa politik ramai yang bercakap, kebanyakkan pengundi muda berpihak pada pembangkang pada PRU13, mereka inilah yang akan mengundi di saluran 1 dan 2 pada PRU15. Apakah PRU15 mereka akan sokong UMNO/BN?

Saya tidak kata yang UMNO adalah parti yang teruk dan rosak, tetapi segelintir pemimpin yang ada dalam UMNO seolah-olah bagaikan biawak hidup yang menjadi liabiliti yang dasyat pada UMNO. Mereka inilah punca orang ramai tidak mahu dekat dengan UMNO. Siapa mereka? Mungkin Najib Razak lebih kenali mereka.

Tradisi UMNO cukup mudah setiap kali PRU. Calon mestilah anak tempatan biarpun mereka hanya memiliki SPM. Berbeza dengan pembangkang, mereka tidak kira calon dari luar asalkan mereka dikalangan orang cerdik pandai yang boleh membawa aspirasi golongan muda ke dewan parlimen.

Penyakit yang menular dalam UMNO hari ini, jika ada anak tempatan yang profesional mahu libatkan diri dalam UMNO, pasti anak tempatan itu dicantas awal-awal bimbang dia boleh gugat kedudukan Ketua Bahagian mahupun apa-apa jawatan dalam UMNO.

Kalau tradisi inilah dikekalkan dalam UMNO, tunggulah akibatnya pada PRU15. Baik kumpulan mahasiswa, profesional dan penjawat awam, guru-guru akan bangkit menentang UMNO melalui kertas undi.




Husam perolehi 4 ribu lebih undi di Putrajaya.

Demokrasi yang subur di Malaysia tidak menghalang mana-mana pihak untuk memilih parti mana yang mereka suka. Biarpun mereka penjawat awam yang bertugas di bawah Goverment Of The Day Barisan Nasional, mahupun mereka mahasiswa yang mendapat bantuan daripada MARA atau JPA, mereka tetap ada hak undi pilih parti mana dalam PRU.

Kalau hari ini UMNO boleh menegur Anwar Ibrahim supaya terima keputusan PRU13 kerana rakyat sudah membuat pilihan yang tepat, maka PRU15 jika UMNO/BN tumbang, kita juga perlu terima qada dan qadar itu dengan hati yang terbuka.

Jangan pula bila kita kalah suatu hari nanti, kita akan salahkan pengundi yang tidak reti bersyukur dan sebagainya, sebaliknya, perlulah kita menilai diri kita dimana silapnya.

Tetapi, menyesal kemudian tidak ada guna. Selepas kalah baru nak cari kelemahan seolah-olah kita melakukan kerja yang sia-sia. Sekaranglah waktu yang tepat untuk UMNO/BN cermin diri mereka kenapa semakin ramai terutama anak muda mula menjauhi mereka.

Saya melihat, banyak perkara yang perlu ditransformkan dalam UMNO/BN. Politik adu domba dan mengampu perlu dibersihkan dalam UMNO. Amalan kronisme juga perlu dikaji balik.

Kalau bapa Ketua UMNO bahagian, tidak perlulah anaknya Ketua Puteri. Kalau suami Timbalan Ketua UMNO bahagian, tidak perlulah si isteri turut bertanding rebut jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian. Bukalah seluas-luasnya kepimpinan UMNO bahagian kepada masyarakat.

Jika ada kumpulan profesional ataupun bekas graduan yang mahu berjinak-jinak dengan UMNO/BN, janganlah cuba disekat niat murni mereka. Mereka inilah yang boleh menjadi pemikir kepada UMNO suatu hari nanti. Berkawanlah dengan mereka ini. Tetapi, kepada mereka yang baru sertai UMNO, jangan pula terlalu cepat gilakan jawatan hanya kerana kita mempunyai kelulusan yang tinggi.

Terdapat juga beberapa perkara yang kita perlu perbaiki dalam menjaga hubungan dengan penjawat awam. Penjawat awam tidaklah membenci UMNO/BN tetapi mereka cukup benci bila ada segelintir pemimpin UMNO yang bukan jawatan menteri atau EXCO melayan mereka bagaikan hamba.

Paling tidak masuk akal, ada juga Ketua UMNO cawangan menggunakan nama jawatan tersebut untuk mengugut penjawat awam setiap kali berurusan. Timbulah perasan benci penjawat awam kepada UMNO hanya kerana seorang Ketua Cawangan yang menekan kakitangan awam.

Menjadi satu tanggungjawab Perdana Menteri atau menteri-menteri lain untuk mengarahkan penjawat awam dalam memberi khidmat yang bagus pada pelanggan kerana gelaran mereka sebagai menteri. Tetapi kalau Ketua UMNO cawangan yang mengherdik penjawat awam, ini amatlah tidak masuk akal.



Tugas berat sayap Pemuda UMNO untuk PRU14 dan 15

Jika mereka masih bercuti meraikan kemenangan tipis PRU13, silakan bercuti untuk 2 atau 3 minggu. Kerja seorang politikus, mereka tidak perlu bercuti panjang. Gerak kerja perlu bermula dari sekarang demi sebuah perjuangan Alif Ba dan Ta.

Kalau tidak mahu UMNO/BN tersungkur pada PRU15, Transformasi dalam UMNO/BN perlulah dipandang serius. Najib Razak jangan hanya pandai bercakap tetapi gagal bertindak.

Pemuda UMNO janganlah hanya gah pada kereta dan baju korp0rat, tetapi biarlah gerak kerja setimpal dengan jawatan dan imbuhan yang diperolehi. Puteri UMNO pula janganlah bangga dengan Hand Bag GUCCI, LV, tudung Fareeda, sebaliknya teruskan mendekati golongan wanita muda baik di kampung mahupun mahasiswi.

Saya amat yakin, bukan semua ahli UMNO bermasalah, tetapi yang sedikit ini jika tidak dibendung boleh menjadi barah yang kritikal dalam tempoh masa yang panjang.

Teruslah berpegang kepada perlembagaan UMNO dalam setiap perjuangan kita. UMNO tertubuh demi membela nasib bangsa Melayu dan BN diwujudkan untuk membawa negara ke arah yang lebih baik. Jika ianya tidak disalahgunakan, UMNO/BN pasti akan relevan sampai bila-bila.

Sumber anakjatimalaya93

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...