Pages

Showing posts with label ESSCOM. Show all posts
Showing posts with label ESSCOM. Show all posts

Sunday, 28 April 2013

MENGGELEGAK NEWS!!! DALANG INSIDEN LAHAD DATU AKAN DIDEDAH - ZAHID




BAGAN DATOH: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak bercadang mendedahkan dalam tempoh terdekat dalang di sebalik insiden Lahad Datu, Sabah.

Katanya, jika pendedahan dibuat sebelum Pilihan Raya Umum 5 Mei ini, ia seolah-olah mempunyai tujuan politik.

“Jadi tunggulah lepas pilihan raya nanti saya rasa saat yang terbaik. Sekarang ini kita hadapi pilihan raya dulu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Kampung Nelayan Sungai Tiang di sini, Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N.Surendran yang mendesaknya mendedahkan nama tiga pemimpin pembangkang yang terlibat dalam insiden Lahad Datu.

Surendran dilaporkan berkata jika Ahmad Zahid gagal mengemukakan nama berkenaan dalam tempoh 24 jam, jelas menunjukkan ia adalah “fitnah” yang dimainkan oleh Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid berkata segala maklumat mengenai dalang tersebut akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Saya tidak secara khusus menyebutkan sesiapa. Kenapa perlu melenting. Kenapa perlu memberikan amaran dalam tempoh 24 jam dan sebagainya,” katanya.

Semalam, beliau berkata Kementerian Pertahanan telah mengenal pasti tiga pemimpin pembangkang yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah itu. -BERNAMA

Monday, 15 April 2013

LAHAD DATU : OTAI TERKENANG PENUBUHAN RASCOM DI SARAWAK.


Pencerobohan Di Lahad Datu: Warga Emas Terkenang Penubuhan RASCOM Di S’wak

KANOWIT – Jam 10 malam 18 Feb 1972, 14 keluarga di rumah panjang Lat, Nanga Dap, sejam perjalanan menaiki bot panjang dari sini, baru hendak masuk tidur, bila anjing di rumah panjang itu mula menyalak tidak berhenti-henti.
Warga emas Saun anak Skudan, 82, masih terkenang peristiwa beliau dan penghuni lain tiba-tiba mendapati sekumpulan lelaki dan wanita bersenjata berpakaian celoreng hijau gelap berada di luar pintu dan dalam kedudukan strategik di luar rumah panjang itu.



Mengintai di lubang dinding, Saun nampak dua senjata besar (mesingan) yang diletakkan di ruai (ruang legar) dan menghadap biliknya (unit keluarga) dan bilik abangnya, Ngalang.

Seorang wanita bergigi jarang berusia lingkungan 30-an, dikatakan ketua kumpulan bersenjata itu, meminta mereka membuka pintu untuk ‘berbual’ seketika, kata Saun yang terkenang kembali pengalaman beliau berdepan dengan pengganas komunis 41 tahun lepas susulan pencerobohan terbaru pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Saun enggan membuka pintu kerana mengetahui mereka adalah pengganas komunis. Dia telah lama mengetahui tindakan ganas mereka jika provokasi dilakukan.

Bimbang perkara yang lebih buruk mungkin terjadi, anggota keluarganya membuat sekatan di pintu itu dari dalam dengan menyusun gong tembaga dan apa sahaja objek berat yang mereka temui. Yang lain menyembunyikan dua senapang patah yang ada dalam rumah.

Saun memberitahu Bernama keluarganya menjadi sasaran kerana mendiang suaminya Lias anak Kana, ketika itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri 1969 sebagai calon Bebas.

“Selaku ADUN, dia merupakan sasaran utama kempen mereka untuk menakutkan penduduk. Pengganas itu datang semata-mata mencarinya tetapi suami saya berada di Kuching menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri,” katanya.

“Berjam-jam saya merayu wanita itu supaya meninggalkan kami dengan memberi alasan terdapat banyak kanak-kanak bersama saya. Dia nampaknya mengalah kerana ketika itu itu dia bercakap dengan seorang wanita lain, dan saya pula bertekad memastikan mereka pergi.

“Tetapi jika mereka menyerbu masuk malam itu, sudah pasti pertumpahan darah tidak dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata selain menghalang saudara lelakinya, dia juga terpaksa memujuk mendiang bapanya yang telah berumur, seorang pemburu kepala pada masa mudanya, supaya tidak melawan pengganas itu yang ketika itu hanya bersenjatakan duku ilang (pedang perang).

Pengganas itu akhirnya beredar sebelum subuh tetapi merampas dua senapang patah dan beberapa kampit beras daripada dua keluarga di situ.

Mereka juga memaksa seorang lelaki tua mengikuti mereka kerana menantunya menyertai ‘Pengakap Sempadan’, tetapi kemudian melepaskannya.

Pengganas itu memaksa dua lelaki mengikuti mereka, yang telah ditahan dua hari kerana mungkin menganggap mereka berpotensi menjadi rekrut.

“Mereka meninggalkan tanda di belakang…bendera merah ikonik mereka dan bom buatan sendiri yang dipasang di sepanjang laluan papan ke sungai,” kata Mancha anak Ngalang yang pertama sekali tiba keesokannya.

Mancha seorang pesara merupakan bekas pengurus kanan Pihak Berkuasa Pembangunan Bintulu (Perancangan Bandar) dan ketika kejadian itu pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kerajaan Kanowit.

Katanya, kira-kira pukul 10 pagi, bot panjang yang membawa sekumpulan Pengakap Sempadan pulang daripada operasi di Nanga Ngemah, diketuai mendiang ASP Wilfred Gomez Malong yang melalui rumah panjang itu.

Melihat kibaran bendera merah di laluan papan itu, Gomez, penerima pingat PGB (Panglima Gagah Berani), lantas menyedari rumah panjang itu telah dikunjungi ‘tetamu ganas’ pada malam itu.

Beliau berhenti untuk memeriksa situasi di situ dan kemudian menelefon pangkalan tentera di bandar Kanowit meminta bantuan mengalihkan bom, yang ditemui bukan sahaja di laluan papan tetapi turut dipasang di sekitar kawasan Sekolah Rendah Kerajaan Nanga Dap Kanowit.

Seminggu kemudian pada 25 Feb, tersebar berita mengenai sekumpulan pengganas diketuai wanita yang sama, bergigi jarang, telah menuju ke Ulu Batang Oya di mana mereka menembak mati Penghulu Imban anak Medan.

Mangsa didakwa melaporkan kehadiran pengganas itu di kawasan berkenaan kepada kerajaan.

Saun kemudian kehilangan penghuni di rumah panjang itu, Matahari, dengan mayatnya tanpa kepala ditemui di kebun kecil getah berhampiran.

Insiden itu menyebabkan kerajaan menghantar tentera untuk melindungi rumah panjang Saun. Beberapa bulan kemudian, penduduk rumah panjang yang tinggal di kawasan pedalaman ditempatkan di Nanga Dap.

Kem Pengakap Sempadan ditubuhkan untuk menyediakan perlindungan keselamatan yang amat diperlukan oleh penduduk.

Penduduk lain ditempatkan di pusat pemindahan Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) di Naga Sekuau di Sibu, Nanga Taada, Nanga Ngungun dan Nanga Jagau di Kanowit dan Rantau Panjai dekat Sibu.

Saun dan Mancha bersetuju tentang usaha kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu dan meningkatkan kehadiran anggota keselamatan terdiri daripada polis dan tentera adalah usaha terbaik.

Usaha kerajaan itu mengingatkan kembali kepada mereka hari-hari yang dilalui di bawah RASCOM yang diwujudkan untuk menyediakan keselamatan bagi penghuni rumah panjang di kawasan pedalaman dan membebaskan mereka daripada gangguan serta ugutan.

“Apabila RASCOM ditubuhkan pada 26 Mac 1972, kita tidak lagi berasa takut pengganas akan datang merampas makanan, senjata dan mencari rekrut. Di petempatan baharu, kami disediakan perubatan, kebajikan dan perkhidmatan lain.

“Pengumpulan dan rancangan petempatan semula dan strategi tentera serta polis akhirnya memaksa pengganas menyerah diri dan meletakkan senjata dan RASCOM dibubarkan pada 5 April 1995,” kata Mancha.

–BERNAMA

Monday, 8 April 2013

LAHAD DATU : ARAHAN TEMBAK KEPALA, PENGGANAS BENAR-BENAR 'KEBAL'.




LAHAD DATU 6 April – Pasukan keselamatan kini menyasarkan kepala musuh untuk ditembak jika berlaku sebarang pertempuran bagi memastikan mereka terbunuh.

Sumber memberitahu, tindakan itu diambil setelah menerima’pengajaran’ sebelum ini apabila kebanyakan pengganas termasuk wanita masih hidup biarpun beberapa kali ditembak pada anggota badan.

“Ada di antara mereka yang jatuh akibat ditembak di badan tetapi bangun semula dan melarikan diri. Ada pula yang langsung tidak jatuh dan mampu melarikan diri seperti biasa.

“Jalan terbaik untuk menghalang mereka daripada mara atau melepaskan diri ialah dengan menembak di kepala bagi memastikan mereka terus mati,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Beliau menambah, pernah berlaku seorang pengganas wanita langsung tidak tercedera biar pun ditembak berkali-kali ketika bersembunyi di salah sebuah rumah penduduk di situ.

“Bagaimanapun, disebabkan keadaannya yang lemah kerana tidak mempunyai makanan, wanita itu tidak dapat melarikan diri dan berjaya ditahan pasukan keselamatan,” ujarnya.

Sumber itu mendedahkan, pihak keselamatan turut giat mencari senjata disembunyikan pihak musuh selepas ada yang menyamar sebagai penduduk tempatan.

“Pengganas Kiram hanya menggunakan senjata lama seperti rifel garand dan senjata buatan sendiri. Begitu pun, senjata-senjata yang dibuat sendiri itu mempunyai ketepatan yang agak tinggi kerana mereka sebenarnya cukup mahir kerana lama terlibat dalam perang gerila sebelum ini.

“Apa pun anggota keselamatan kita tidak sedikit pun gentar. Kebanyakan pengganas ketika ini masih menjadikan kediaman penduduk di kawasan tertentu sebagai tempat persembunyian dan hanya mampu melarikan diri ke hutan atau ladang kelapa sawit sekiranya diserbu,” ujarnya.

Dalam pada itu, prihatin dengan nasib penduduk yang menjadi mangsa pencerobohan kumpulan pengganas Kiram, Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk membina penempatan sementara yang lebih selesa kepada penduduk yang terjejas teruk.

Pengarah Urusan 1MDB, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman berkata, penempatan itu diharap mampu memberi lebih keselesaan kepada penduduk berbanding pusat penempatan sementara sedia ada.

“Apabila bertemu dengan kebanyakan mangsa, perkara yang sering ditanya bagaimana nasib mereka yang kehilangan rumah? Kami amat bersimpati dan sedang memikirkan cara untuk menyediakan kehidupan lebih selesa.

“Sebagai contoh, mungkin kita boleh membina rumah panjang sementara rumah mereka dibina semula. Saya sendiri akan membawa perkara ini kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku penaung yayasan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman melawat kawasan yang terjejas ekoran pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di sini baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Sukarti diberi penghormatan oleh 1MDB untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung dan anggota pasukan keselamatan bertugas.

Mengulas mengenai bantuan diberikan, Shamsul Anwar memberitahu, pihaknya membawa 3,000 kotak makanan berisi barangan makanan asas untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa pencerobohan.

Wednesday, 3 April 2013

LAHAD DATU : OP DAULAT DITERUSKAN WALAU PRU DIADAKAN




LAHAD DATU: Operasi Daulat akan tetap diteruskan bagi membina keyakinan penduduk tentang aspek keselamatan walaupun wujud kemungkinan Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum (PRU) ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata operasi ini memerlukan pasukan keselamatan untuk terus bersiap siaga di Pantai Timur Sabah sehingga tahap keselamatan di paras tertinggi dan saki-baki penceroboh militan Sulu dihapuskan.

“Kita tidak tahu bila PRU. Di pihak kita, tugas menjaga keselamatan kampung-kampung yang terlibat adalah menjadi keutamaan.

“Ini termasuk anggota kita ditempatkan dan berkampung di kawasan rumah penduduk,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalan Pengarah 1 Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Abd Rahman Hussin.

Beliau berkata selain menambah anggota yang ada, aset juga dikekalkan di kawasan operasi dan kawasan kampung yang telah dikenal pasti sebelum ini bagi menambah kekuatan pasukan keselamatan.

Zulkifeli berkata Operasi Daulat juga akan diteruskan sehingga Kawasan Keselamatan Khas Sabah Timur (ESSCOM) dilaksanakan sepenuhnya.

Mengenai operasi Daulat di Felda Sahabat, beliau berkata operasi itu berada di peringkat ketiga iaitu di tahap menstabilkan keadaan keselamatan.

“Operasi ini bermula dari tahap satu iaitu ofensif dengan pasukan keselamatan membanteras penceroboh kemudian kepada tahap dua iaitu penggeledahan iaitu mencari pengganas tersebut,” katanya.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah (ESSZONE), yang meliputi 10 daerah sebagai landasan perundangan bagi penubuhan ESSCOM.

Daerah berkenaan ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Zulkifeli turut mengumumkan Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian dan Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan, yang ditutup kerana berada di zon merah operasi Daulat, akan dibuka Isnin ini.

Keputusan itu dibuat setelah pihaknya mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, yang turut melawat Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan hari ini.

Tuesday, 26 March 2013

LAHAD DATU : ESSCOM PERTINGKAT LAGI KESELAMATAN PERAIRAN DI SABAH


esscom

Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) membabitkan lima daerah di pantai timur Sabah dan ia terdiri daripada Sandakan, Tawau, Kunak, Kudah dan Lahad Datu. Dengan penubuhan ESSCOM ini akan membabitkan penyelarasan kerjasama antara tiga komponen, iaitu penduduk setempat, pasukan tentera dan pihak polis bagi membanteras ancaman pengganas.


Jika diperhalusi ESSCOM bukanlah sesuatu yang asing bagi Malaysia kerana ketika Sarawak berhadapan dengan ancaman komunis pada tahun 1970-an, Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) secara khusus diujudkan untuk berhadapan dengan ancaman tersebut.

Sudah pasti ada yang mempersoalkan mengapa baru kini kerajaan menubuhkan ESSCOM sedangkan ancaman keselamatan memang sudah lama ujud seperti beberapa siri penculikan yang didalangi oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

Perlu ditekankan bahawa selama ini sememangnya ujud beberapa struktur keselamatan khas khusus untuk menangani isu keselamatan Sabah yang dianggap begitu mencabar dan unik. Mencabar kerana perairan terbuka sepanjang 1,400 kilometer begitu sukar untuk diawasi dan unik kerana komposisi penduduk Sabah yang mempunyai sejarah asal usul begitu menarik.

Operasi Padanan & Sipadan Island Resort atau lebih dikenali dengan nama singkatan Ops Pasir adalah salah satu struktur keselamatan yang diujudkan untuk berhadapan dengan ancaman khusus iaitu penculikan pelancong terutama sekali di pulau terpencil. Ops Pasir mula diperkenalkan pada tahun 2000 dan diuruskan oleh Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (MAB-ATM).

Begitu juga dengan organisasi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen mempunyai peranan tertentu demi menjamin keselamatan perairan Sabah.

ESSCOM ditubuhkan bukan kerana fungsi ATM, PDRM, APMM dan Imigresen tidak efektif atau untuk mengambil alih tugas tetapi sebenarnya untuk memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh entiti organisasi tersebut.

Selama ini setiap aktiviti organisasi tersebut melaksanakan tugas masing-masing secara berasingan kerana setiap entiti tersebut mempunyai arahan pusat (central command) yang berbeza. Timbul beberapa kekangan terutama sekali dari segi kepantasan berkongsi maklumat risikan kerana masing-masing mempunyai strategi dan kepentingan yang berlainan di antara satu sama lain.

Betapa pentingnya penyelarasan arahan pusat diserlahkan lagi apabila Ops Pasir ATM dikendalikan oleh MAB kerana untuk menyelaraskan tugas antara tiga cabang perkhidmatan utama mereka iaitu tentera darat, laut dan udara.

Amerika Syarikat (AS) umpamanya telah belajar dari kesilapan kerana tidak mempunyai penyelarasan perkongsian maklumat risikan di antara Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) yang mengakibatkan kegagalan mengesan plot serangan pengganas yang berlaku pada 11 September 2001.

Kini mereka menubuhkan satu entiti khas yang dipanggil Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (Homeland Security) sebagai asas penyelarasan semua aktiviti keselamatan AS.

Dengan adanya entiti Homeland Security dengan diketuai oleh Setiausaha yang lebih popular dikenali sebagai Czar keselamatan, semua aktiviti umpamanya oleh FBI dan CIA dapat diselaraskan. Konsep ini bukan sesuatu yang asing dan ESSCOM juga mempunyai maksud yang serupa.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, satu mesyuarat diadakan semalam bagi merangka strategi bagaimana mahu membabitkan orang ramai, terutama masyarakat setempat dalam ESSCOM.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpendapat benteng pertahanan pertama mestilah masyarakat setempat, sebab itulah anggota RELA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Kampung digerakkan untuk usaha ini.

“Mereka ini boleh menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan negara selain berperanan membendung penyebaran khabar angin, sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa negeri itu selamat.

“Kita dah kenal pasti beberapa kawasan bagi penubuhan ESSCOM. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, KDN sudah mengambil perhatian mengenai keperluan kabin, balai, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta lima batalion yang perlu ditempatkan di kawasan berkenaan.

Penubuhan ESSCOM diumumkan Perdana Menteri 7 Mac lalu, ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras pengganas di Kampung Tanduo, Lahat Datu dan kini pada peringkat akhir pelaksanaan.

Dalam pada itu, Hishammuddin juga memaklumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, akan melancarkan unit rondaan bermotor pasukan polis di Kota Kinabalu hari ini dan di Sandakan pada hari berikutnya dalam usaha memberi keyakinan kepada penduduk Sabah bahawa negeri itu selamat.

Diharap dengan penubuhan ESSCOM ini tidak akan berlaku lagi pencerobohan pengganas dan keselamatan perairan Sabah akan lebih terjamin.


Sumber suaragenerasibaru

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...