Pages

Showing posts with label Pasukan Keselamatan. Show all posts
Showing posts with label Pasukan Keselamatan. Show all posts

Monday, 8 April 2013

LAHAD DATU : ARAHAN TEMBAK KEPALA, PENGGANAS BENAR-BENAR 'KEBAL'.




LAHAD DATU 6 April – Pasukan keselamatan kini menyasarkan kepala musuh untuk ditembak jika berlaku sebarang pertempuran bagi memastikan mereka terbunuh.

Sumber memberitahu, tindakan itu diambil setelah menerima’pengajaran’ sebelum ini apabila kebanyakan pengganas termasuk wanita masih hidup biarpun beberapa kali ditembak pada anggota badan.

“Ada di antara mereka yang jatuh akibat ditembak di badan tetapi bangun semula dan melarikan diri. Ada pula yang langsung tidak jatuh dan mampu melarikan diri seperti biasa.

“Jalan terbaik untuk menghalang mereka daripada mara atau melepaskan diri ialah dengan menembak di kepala bagi memastikan mereka terus mati,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Beliau menambah, pernah berlaku seorang pengganas wanita langsung tidak tercedera biar pun ditembak berkali-kali ketika bersembunyi di salah sebuah rumah penduduk di situ.

“Bagaimanapun, disebabkan keadaannya yang lemah kerana tidak mempunyai makanan, wanita itu tidak dapat melarikan diri dan berjaya ditahan pasukan keselamatan,” ujarnya.

Sumber itu mendedahkan, pihak keselamatan turut giat mencari senjata disembunyikan pihak musuh selepas ada yang menyamar sebagai penduduk tempatan.

“Pengganas Kiram hanya menggunakan senjata lama seperti rifel garand dan senjata buatan sendiri. Begitu pun, senjata-senjata yang dibuat sendiri itu mempunyai ketepatan yang agak tinggi kerana mereka sebenarnya cukup mahir kerana lama terlibat dalam perang gerila sebelum ini.

“Apa pun anggota keselamatan kita tidak sedikit pun gentar. Kebanyakan pengganas ketika ini masih menjadikan kediaman penduduk di kawasan tertentu sebagai tempat persembunyian dan hanya mampu melarikan diri ke hutan atau ladang kelapa sawit sekiranya diserbu,” ujarnya.

Dalam pada itu, prihatin dengan nasib penduduk yang menjadi mangsa pencerobohan kumpulan pengganas Kiram, Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk membina penempatan sementara yang lebih selesa kepada penduduk yang terjejas teruk.

Pengarah Urusan 1MDB, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman berkata, penempatan itu diharap mampu memberi lebih keselesaan kepada penduduk berbanding pusat penempatan sementara sedia ada.

“Apabila bertemu dengan kebanyakan mangsa, perkara yang sering ditanya bagaimana nasib mereka yang kehilangan rumah? Kami amat bersimpati dan sedang memikirkan cara untuk menyediakan kehidupan lebih selesa.

“Sebagai contoh, mungkin kita boleh membina rumah panjang sementara rumah mereka dibina semula. Saya sendiri akan membawa perkara ini kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku penaung yayasan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman melawat kawasan yang terjejas ekoran pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di sini baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Sukarti diberi penghormatan oleh 1MDB untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung dan anggota pasukan keselamatan bertugas.

Mengulas mengenai bantuan diberikan, Shamsul Anwar memberitahu, pihaknya membawa 3,000 kotak makanan berisi barangan makanan asas untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa pencerobohan.

Thursday, 4 April 2013

LAHAD DATU : BUKTI KEKEBALAN PENGGANAS!!!


“Saya sudah melihat baju ini sejak pulang ke rumah. Saya tidak berani pegang kerana ia baju pengganas,” katanya.


Ditanya sama ada baju di rumahnya hilang kerana pengganas mahu menyamar menjadi penduduk kampung, kata Darwin, memang banyak baju lelaki di rumahnya lesap.


“Ya, baju saya banyak yang hilang. Kemungkinan mereka gunakan untuk menyamar,” katanya.







DAKWAAN ramai pihak yang mengatakan pengganas Kiram mengamalkan ilmu kebal ketika bertempur dengan pasukan keselamatan negara mungkin tidak boleh dipercayai kerana merasakan ia mustahil berlaku.


Kemungkinan besar dalam kalangan kita juga tidak mempercayainya kerana tidak melihat sendiri di hadapan mata dan juga menganggap ia perbuatan syirik.


Tetapi itulah yang terjadi dan diceritakan sendiri oleh beberapa anggota polis dan tentera yang terlibat dalam Op Daulat kepada wartawan Sinar Harian sejak kami menjejakkan kaki di sini.


Ramai antara mereka berkata, pengganas Kiram masih boleh melarikan diri walaupun ratusan peluru mengenai badan mereka sehingga pakaian tertanggal dan tubuh berasap.


Namun, kekebalan pengganas Kiram sedikitpun tidak menggentarkan pasukan keselamatan negara, malah ia memberi semangat yang lebih untuk menghapuskan musuh ini dari bumi Sabah.


“Kami berperang dengan syaitan. Seperti filem zombie, kami mesti tembak di kepala barulah pengganas ini rebah,” kata salah seorang anggota polis kepada Sinar Harian.


Akhirnya, bukti kekebalan pengganas Kiram kami temui semasa masuk ke Kampung Tanjung Batu semalam. Sepasang baju dan seluar tentera yang pernah digunakan pengganas menjadi bukti kepada cerita-cerita yang disampaikan anggota keselamatan kepada kami.


Di belakang baju tersebut, terdapat lambang keris Sulu dan bulan sabit, serta warna hijau, putih dan kuning.


Kami difahamkan oleh penduduk kampung lambang itu adalah lambang Tentera Diraja Sulu, entiti yang pernah diisytiharkan oleh individu yang menabalkan dirinya Sultan Sulu, Jamalul Kiram ketika awal pencerobohan Februari lalu.


Memeriksa baju itu, kami mendapati ia dipenuhi kesan peluru. Robek di sana sini. Namun amat menghairankan apabila tiada langsung kesan darah.


Penduduk, Darwin Abd Rajin, 45, berkata, pakaian tentera itu memang sudah ada di hadapan rumahnya sejak dia kembali pada Ahad lalu.


Katanya lagi, dia tidak berani menyentuh pakaian itu kerana bimbang disalahtafsir sebagai bersubahat dengan pengganas Kiram.


Kelmarin, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Salleh Mat Rashid menasihati penduduk kampung melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika ada orang asing masuk ke kampung mereka.


Katanya, ia kerana pengganas Kiram disyaki sudah menyamar menjadi orang awam selepas pihak berkuasa bertindak segera dalam melumpuhkan kegiatan pengganas

Sumber sinarharian

Wednesday, 3 April 2013

LAHAD DATU : OP DAULAT DITERUSKAN WALAU PRU DIADAKAN




LAHAD DATU: Operasi Daulat akan tetap diteruskan bagi membina keyakinan penduduk tentang aspek keselamatan walaupun wujud kemungkinan Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum (PRU) ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata operasi ini memerlukan pasukan keselamatan untuk terus bersiap siaga di Pantai Timur Sabah sehingga tahap keselamatan di paras tertinggi dan saki-baki penceroboh militan Sulu dihapuskan.

“Kita tidak tahu bila PRU. Di pihak kita, tugas menjaga keselamatan kampung-kampung yang terlibat adalah menjadi keutamaan.

“Ini termasuk anggota kita ditempatkan dan berkampung di kawasan rumah penduduk,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalan Pengarah 1 Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Abd Rahman Hussin.

Beliau berkata selain menambah anggota yang ada, aset juga dikekalkan di kawasan operasi dan kawasan kampung yang telah dikenal pasti sebelum ini bagi menambah kekuatan pasukan keselamatan.

Zulkifeli berkata Operasi Daulat juga akan diteruskan sehingga Kawasan Keselamatan Khas Sabah Timur (ESSCOM) dilaksanakan sepenuhnya.

Mengenai operasi Daulat di Felda Sahabat, beliau berkata operasi itu berada di peringkat ketiga iaitu di tahap menstabilkan keadaan keselamatan.

“Operasi ini bermula dari tahap satu iaitu ofensif dengan pasukan keselamatan membanteras penceroboh kemudian kepada tahap dua iaitu penggeledahan iaitu mencari pengganas tersebut,” katanya.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah (ESSZONE), yang meliputi 10 daerah sebagai landasan perundangan bagi penubuhan ESSCOM.

Daerah berkenaan ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Zulkifeli turut mengumumkan Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian dan Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan, yang ditutup kerana berada di zon merah operasi Daulat, akan dibuka Isnin ini.

Keputusan itu dibuat setelah pihaknya mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, yang turut melawat Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan hari ini.

Saturday, 30 March 2013

LAHAD DATU : POLIS JAMIN KESELAMATAN KAWASAN TERJEJAS AKIBAT PERTEMPURAN


Kuala Lumpur: Polis hari ini memberi jaminan keselamatan kepada penduduk di empat daripada lima kawasan yang terjejas akibat pertempuran antara penceroboh militan dan pasukan keselamatan di Lahad Datu, Sabah.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid, berkata keempat-empat kampung itu ialah Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu, Kampung Labian dan kawasan Tanjung Bilis.

"Rancangan seterusnya ialah untuk membawa masuk semula penduduk kampung ke kediaman masing-masing dan hidup seperti sedia kala," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan kepada lapan keluarga anggota polis yang terkorban dalam krisis pencerobohan itu di Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.


Sumbangan berbentuk bantuan RM10,000 untuk setiap balu, 19 netbook dan RM200 untuk anak-anak wira yang terkorban itu disampaikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Ismail dalam ucapannya berkata, sumbangan itu menunjukkan keprihatinan kementerian itu terhadap pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara.

"Sumbangan itu adalah satu sokongan moral yang sangat tinggi bukan sahaja kepada waris mereka yang terkorban tetapi menjadi suntikan semangat kepada pejuang yang kini mencurahkan khidmat bakti, berjuang bagi kedaulatan negara," katanya.
Insiden pencerobohan sejak 12 Februari itu mengorbankan 10 anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan dua tentera. - BERNAMA

Sumber bharian

Wednesday, 27 March 2013

LAHAD DATU : RUMAH HANCUR ROSAK DI KG TANDUO - PENDUDUK


LAHAD DATU: Rata-rata rumah di Kampung Tanduo hancur dan musnah selepas pengganas dari selatan Filipina menceroboh dan menawan kawasan yang dijadikan lokasi pertempuran dengan pasukan keselamatan itu sejak hampir sebulan kini.

Ada rumah yang mempunyai kesan tembakan dan pertempuran selain ada yang hanya tinggal tiang, atap atau serba serbi tidak lengkap.

Barang-barang keperluan, harta dan juga dokumen peribadi yang ditinggalkan di dalam rumah juga hilang atau dicuri.

Inilah gambaran yang diberikan dan diceritakan penduduk kepada Bernama selepas 20 ketua keluarga Kampung Tanduo dibawa masuk melawat rumah dan harta benda mereka pagi Selasa.

Pasukan keselamatan pada Selasa membenarkan mereka bersama-sama Pegawai Daerah dan Majlis Keselamatan Negara masuk ke kampung itu buat pertama kali sejak ia dijadikan lokasi pertempuran.

Sewaktu pengganas Sulu mula menceroboh kampung mereka Februari lalu, penduduk berkata mereka melarikan diri sehelai sepinggang kerana bimbang keselamatan dan nyawa terancam.

Asaad Majijil, 70, berkata rumahnya hancur dan dokumen peribadi keluarganya hilang.

“Saya tinggal di sini sejak 50 tahun lepas tapi ini pertama kali kejadian seumpama ini berlaku.

“Ia sangat dahsyat dan menakutkan apabila melihat keadaan rumah saya dan sekitarnya tadi. Memang teruk,” katanya yang masih terkejut.

Jirannya, Apollo Hajirun, 42, berkata dua rumahnya hancur termasuk sebuah rumah yang hanya tinggal dinding dan mempunyai kesan tembakan.

Katanya pelbagai harta termasuk keretanya hilang selain barang keperluan turut lesap. Beliau yakin pengganas Sulu itu bertindak sedemikian kerana terdesak hingga mencuri makanan di dalam rumahnya.

Seorang lagi penduduk, Atareh Sabtal, 39, berkata penduduk berharap kerajaan memberi pampasan atau membuat perumahan rakyat kepada mereka.

“Saya tidak mahu tinggal di sini lagi jika tiada pasukan keselamatan menjaga kawasan ini.

“Saya juga tidak mahu tinggal dalam komuniti yang mempunyai musuh dalam selimut, jadi perlu ada sistem perumahan yang teratur,” katanya.

Pasukan keselamatan mula memasuki Kampung Tanduo kira-kira pukul 10.30 pagi Selasa dengan kereta perisai polis Zabri mengetuai konvoi hampir 20 buah pelbagai kenderaan itu termasuk aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beberapa wakil media turut mengikuti konvoi itu secara haram dan mendapati perjalanan dari papan tanda “Ke Kampung Tanduo” hingga ke lokasi mengambil masa kira-kira sejam melalui kawasan ladang kelapa sawit yang tebal dan sedikit berpaya.

Turut kelihatan pekerja ladang yang dibenarkan mula bekerja pada hari ini untuk mengutip hasil kelapa sawit selepas operasi ditutup ekoran insiden pencerobohan pengganas itu.

Beberapa pusat kawalan ATM ditemui ketika perjalanan dengan suasana tenang dan sunyi sebelum konvoi tiba di kampung berkenaan.

Pasukan keselamatan yang menyedari kelibat media kemudian mengarahkan mereka pulang dan rombongan penduduk itu pula pulang ke kawasan pemindahan kira-kira pukul 1 petang.

Dilaporkan, pada 9 Februari lepas, pengganas Sulu memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.

Pada 12 Februari, penduduk kampung dan nelayan melihat kumpulan pengganas itu lengkap berpakaian ala tentera dan bersenjata berkumpul di kampung mereka sebelum membuat laporan polis.

Pada 1 Mac, anggota keselamatan diserang pengganas Sulu di Kampung Tanduo yang menyaksikan dua anggota komando polis terkorban, tiga cedera dan 12 pengganas Sulu terbunuh dalam pertempuran setengah jam itu. 



Tuesday, 26 March 2013

LAHAD DATU : ESSCOM PERTINGKAT LAGI KESELAMATAN PERAIRAN DI SABAH


esscom

Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) membabitkan lima daerah di pantai timur Sabah dan ia terdiri daripada Sandakan, Tawau, Kunak, Kudah dan Lahad Datu. Dengan penubuhan ESSCOM ini akan membabitkan penyelarasan kerjasama antara tiga komponen, iaitu penduduk setempat, pasukan tentera dan pihak polis bagi membanteras ancaman pengganas.


Jika diperhalusi ESSCOM bukanlah sesuatu yang asing bagi Malaysia kerana ketika Sarawak berhadapan dengan ancaman komunis pada tahun 1970-an, Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) secara khusus diujudkan untuk berhadapan dengan ancaman tersebut.

Sudah pasti ada yang mempersoalkan mengapa baru kini kerajaan menubuhkan ESSCOM sedangkan ancaman keselamatan memang sudah lama ujud seperti beberapa siri penculikan yang didalangi oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

Perlu ditekankan bahawa selama ini sememangnya ujud beberapa struktur keselamatan khas khusus untuk menangani isu keselamatan Sabah yang dianggap begitu mencabar dan unik. Mencabar kerana perairan terbuka sepanjang 1,400 kilometer begitu sukar untuk diawasi dan unik kerana komposisi penduduk Sabah yang mempunyai sejarah asal usul begitu menarik.

Operasi Padanan & Sipadan Island Resort atau lebih dikenali dengan nama singkatan Ops Pasir adalah salah satu struktur keselamatan yang diujudkan untuk berhadapan dengan ancaman khusus iaitu penculikan pelancong terutama sekali di pulau terpencil. Ops Pasir mula diperkenalkan pada tahun 2000 dan diuruskan oleh Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (MAB-ATM).

Begitu juga dengan organisasi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen mempunyai peranan tertentu demi menjamin keselamatan perairan Sabah.

ESSCOM ditubuhkan bukan kerana fungsi ATM, PDRM, APMM dan Imigresen tidak efektif atau untuk mengambil alih tugas tetapi sebenarnya untuk memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh entiti organisasi tersebut.

Selama ini setiap aktiviti organisasi tersebut melaksanakan tugas masing-masing secara berasingan kerana setiap entiti tersebut mempunyai arahan pusat (central command) yang berbeza. Timbul beberapa kekangan terutama sekali dari segi kepantasan berkongsi maklumat risikan kerana masing-masing mempunyai strategi dan kepentingan yang berlainan di antara satu sama lain.

Betapa pentingnya penyelarasan arahan pusat diserlahkan lagi apabila Ops Pasir ATM dikendalikan oleh MAB kerana untuk menyelaraskan tugas antara tiga cabang perkhidmatan utama mereka iaitu tentera darat, laut dan udara.

Amerika Syarikat (AS) umpamanya telah belajar dari kesilapan kerana tidak mempunyai penyelarasan perkongsian maklumat risikan di antara Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) yang mengakibatkan kegagalan mengesan plot serangan pengganas yang berlaku pada 11 September 2001.

Kini mereka menubuhkan satu entiti khas yang dipanggil Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (Homeland Security) sebagai asas penyelarasan semua aktiviti keselamatan AS.

Dengan adanya entiti Homeland Security dengan diketuai oleh Setiausaha yang lebih popular dikenali sebagai Czar keselamatan, semua aktiviti umpamanya oleh FBI dan CIA dapat diselaraskan. Konsep ini bukan sesuatu yang asing dan ESSCOM juga mempunyai maksud yang serupa.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, satu mesyuarat diadakan semalam bagi merangka strategi bagaimana mahu membabitkan orang ramai, terutama masyarakat setempat dalam ESSCOM.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpendapat benteng pertahanan pertama mestilah masyarakat setempat, sebab itulah anggota RELA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Kampung digerakkan untuk usaha ini.

“Mereka ini boleh menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan negara selain berperanan membendung penyebaran khabar angin, sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa negeri itu selamat.

“Kita dah kenal pasti beberapa kawasan bagi penubuhan ESSCOM. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, KDN sudah mengambil perhatian mengenai keperluan kabin, balai, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta lima batalion yang perlu ditempatkan di kawasan berkenaan.

Penubuhan ESSCOM diumumkan Perdana Menteri 7 Mac lalu, ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras pengganas di Kampung Tanduo, Lahat Datu dan kini pada peringkat akhir pelaksanaan.

Dalam pada itu, Hishammuddin juga memaklumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, akan melancarkan unit rondaan bermotor pasukan polis di Kota Kinabalu hari ini dan di Sandakan pada hari berikutnya dalam usaha memberi keyakinan kepada penduduk Sabah bahawa negeri itu selamat.

Diharap dengan penubuhan ESSCOM ini tidak akan berlaku lagi pencerobohan pengganas dan keselamatan perairan Sabah akan lebih terjamin.


Sumber suaragenerasibaru

Sunday, 24 March 2013

LAHAD DATU : ANAK LELAKI BEKAS KETUA KG. TANDUO KOORDINATOR KUMPULAN PENGGANAS SULU - PDRM




LAHAD DATU: Anak lelaki kepada bekas Ketua Kampung Tanduo dipercayai merupakan orang tempatan yang menjadi penyelaras kepada kumpulan pengganas bersenjata Sulu.

Dia merupakan seorang daripada empat orang yang ditahan, merupakan individu yang memainkan peranan penting dengan kumpulan pengganas yang ditahan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Seorang lagi ialah komander tentera kumpulan pengganas Sulu, ditangkap ketika bersembunyi di kawasan paya di Semporna ketika pihak polis sedang melumpuhkan kumpulan pengganas Sulu yang beroperasi di sana dan Lahad Datu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kedua-dua individu penting itu ditahan bersama-sama isteri masing-masing.

Sementara itu, Khalid mengesahkan lelaki tempatan yang ditahan berusia awal 40-an itu, itangkap bersama isterinya di satu kawasan di kampung tersebut pukul 10 malam Jumaat.

Beliau berkata lelaki berkenaan memiliki kad pengenalan Malaysia, katanya kepada pemberita.

Komander tentera yang ditahan itu kini ditahan di bawah Akta Imigresen bagi mengesahkan identiti serta dokumen pengenalan dirinya.

“‘Local coordinator’ itu dikenal pasti sebagai individu yang bertindak mengatur makan dan minum, tempat tinggal, kenderaan serta perubatan kepada militan Sulu sejak daripada awal pencerobohan.

“Dengan penahanan ‘military commander’ atau pemerintah tentera Sulu serta tali barut pengganas ini, saya berpendapat kumpulan militan kini lumpuh dengan tertangkapnya dua individu terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16 pada Sabtu.

Khalid berkata dengan penangkapan dua individu terbabit, beliau percaya pergerakan saki-baki pengganas kini semakin terbatas dan lemah ekoran kehilangan arah selain tidak lagi mendapat bantuan daripada warga tempatan.

Sambil merakam penghargaan kepada masyarakat yang membantu memberikan maklumat sehingga tertangkapnya individu paling dikehendaki itu, Khalid berkata Operasi Daulat yang memasuki hari ke-19 hari ini tetap diteruskan dan membayangkan masyarakat sekitar Lahad Datu akan kembali meneruskan kehidupan seperti biasa tidak lama lagi.

Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, beliau berkata sehingga kini 408 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah pengganas yang ditembak mati kekal 63 orang.

Katanya sejumlah 38 mayat berjaya dikeluarkan dari kawasan operasi termasuk lapan yang dikeluarkan dari Kampung Tanjung Batu semalam dan sedang melalui proses bedah siasat di Hospital Lahad Datu.Berkenaan kejadian di Kembara Sakti semalam, Khalid berkata jumlah pasukan keselamatan di perkampungan itu kini ditambah bagi memberi keyakinan kepada penduduk untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Tidak ada sebab untuk mereka merasa takut dan saya nasihatkan semua ahli masyarakat, penduduk dan pekerja ladang di Kembara Sakti supaya kembali ke rumah masing-masing kerana pasukan keselamatan sentiasa melindungi mereka,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati perkara itu hanya satu khabar angin yang diperbesar-besarkan sehingga mendatangkan kerisauan kepada penduduk.

Kira-kira 1,000 penduduk di kampung Kembara Sakti dilapor bertindak berpindah ke sekolah agama serta masjid berdekatan selepas seorang suri rumah mendakwa dia yang bersendirian di rumahnya didatangi empat pengganas yang kelaparan dan mengikat kedua-dua kaki dan tangannya.Wanita itu bagaimanapun dikatakan berjaya melepaskan diri ketika militan terbabit leka mencari makanan.

Sumber KLIK suaragenerasibaru

Saturday, 23 March 2013

LAHAD DATU : WARTAWAN AMERIKA DEDAH CAMPURTANGAN LUAR?!


Nile Bowie, wartawan Amerika Syarikat kelahiran NY City, kini bertugas di Kuala Lumpur bagi pihak media Kanada, Global Reserach.


Nile Bowie banyak menulis artikel yang mendedahkan kelicikan Anwar Ibrahim yang mahu merosakkan Malaysia,dan sekongkolan Anwar Ibrahim dengan Amerika khususnya sekongkolannya dengan Zionis Amerika.

Bowie juga sering melaporkan campurtangan Amerika di Malaysia, sepertimana campurtangan Amerika di Russia, Mesir dan negara2 lain, bagi menjatuhkan kerajaan BN stail "Arab Spring"untuk digantikan dengan kerajaan PR di mana Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan lebih memenuhi kepentingan Amerika di Asia Tenggara.


Amerika, mengikut Nile Bowie kini sedang memusatkan kembali kekuatan ketenteraan dan pengaruh politiknya di Asia-Pasifik bagi mengekang kebangkitan China, dan ia memerlukan sekutu yang benar2 pro-Amerika, bukan sekadar neutral atau berkecuali.

Malaysia pada Amerika sangat strategik kerana ia berpesisir dengan Selat Melaka dan Laut China Selatan, dua perairan yang sangat penting yang menjadi laluan bekalan bahan mentah untuk China serta laluan dagang penting juga untuk Russia dan Iran.

Kerajaan BN dilihat terlalu neutral oleh Amerika sedangkan Anwar Ibrahim pula dilihat sangat pro-Amerika dan jelas menyebelahi Amerika, termasuk kenyataan Anwar bahawa dia akan gerenti keselamatan Israel, ini sangat menyedapkan telinga Amerika.

Anwar juga mempunyai hubungan peribadi yang sangat intim dengan pemimpin2 Amerika seperti Jon Mc Cain, Al Gore, Paul Wolfowitz dan lain2 serta hubungan rapat dengan agensi2 Amerika seperti IMF, NED, IRI dan lain2 lagi. Semua ini adalah tanda2 betapa intim, mesra dan isi dengan kukunya hubungan Anwar Ibrahim-Amerika.



Amerika mungkin berharap kerajaan Malaysia pimpinan PR akan membenarkan Amerika membuka pangkalan tentera di Malaysia, mungkin di Sabah, sebagai persiapan perang dengan China, Iran dan Russia berbanding kerajaan BN yang cuba neutral dalam isu Amerika-China, Amerika-Russia dan Amerika -Iran serta keberatannya membenarkan Amerika berpangkalan di Malaysia..


Dalam link ini (http://www.globalresearch.ca/us-sponsored-political-conspiracy-in-malaysia-the-mysterious-case-of-the-sulu-sultan/5327660), Nile Bowie menulis bahawa Amerika Syarikat mungkin berkomplot dengan Pembangkang Malaysia, khususnya dengan Anwar Ibrahim, dalam konflik serangan pengganas2 Sulu di Sabah yang hingga kini masih belum selesai..

Dalam artikel ini, Nile Bowie menceritakan keburukan dan kelicikan Anwar Ibrahim serta hubungannya dengan Amerika dan pemimpin2 serta agensi2 kerajaan Amerika yang bertanggungjawab mengeksport revolusi stail "Arab Spring" ke negara2 yang Amerika mahu tukar rejim, termasuk Malaysia.

Nile Bowie percaya isu Sabah adalah sebahagian dari perancangan Amerika-Anwar Ibrahim bagi menukar rejim di Malaysia.

Sumber KLIK daengselili

Friday, 22 March 2013

ISU LAHAD DATU : KES BUKAN SOAL SUKU TAPI SOAL PENGGANAS - PEGUAM NEGARA


TAWAU: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan bahawa kes lapan rakyat Filipina yang didakwa di Mahkamah Tawau hari ini bukan persoalan kaum tetapi soal aktiviti pengganas.

Beliau berkata dalam soal undang-undang, bukan suku kaum yang dilihat, sebaliknya kesalahan individu atau kumpulan terbabit sama ada menyalahi undang-undang ataupun tidak.

"Bagi saya, ini bukanlah persoalan kaum, sebaliknya ini adalah persoalan pengganas. Jangan lupa, orang kita (Melayu) pun ada. Contohnya Yazid Sufaat yang didakwa terhadap pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria.

"Dalam undang-undang kita tidak tengok dari segi itu (suku kaum). Saya tidak terkejut jika orang lain (suku lain) pun ada masuk (kumpulan pengganas)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini hari ini apabila diajukan soalan sama ada kelapan-lapan tertuduh dalam insiden pencerobohan Sabah itu daripada kaum Suluk atau sebaliknya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Siasatan Jenayah Sabah Senior Asisten Komisioner Omar Mamah, timbalannya Asisten Komisioner Mohd Shariff Wahid dan Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah.

Abdul Gani berkata setiap orang mahukan keadilan dan sesiapa yang patut dihukum perlu dihukum.
Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak mahkamah kerana memahami kepentingan kes pendakwaan ke atas lapan tertuduh Filipina dengan mempercepatkan pendengaran kes.

Beliau juga memuji anggota keselamatan yang sentiasa bersedia dan prihatin dalam soal keselamatan.

"Kalau kita lihat (masa) kita nak tuduh pun begitu ramai polis berkawal. Kita juga hendak anggota polis ini menjaga keamanan. Jadi kita perlu perkara ini dipercepatkan," katanya. - BERNAMA

Sumber KLIK bharian

ISU LAHAD DATU : KRONOLOGI OPERASI DAULAT 16-21 MAC




KUALA LUMPUR 21 Mac – Insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah masih berterusan dengan usaha mengesan dan membersih saki-baki pengganas dipertingkat pasukan keselamatan bagi mengembalikan keyakinan masyarakat berhubung tahap keselamatan di kawasan terjejas dengan peristiwa itu.

Langkah itu telah memecahkan benteng penceroboh yang kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di kawasan zon merah Operasi Daulat selain beberapa lagi musuh ditembak mati dan ditangkap pasukan keselamatan dalam beberapa pertempuran.

Berikut adalah kronologi selepas 17 hari Operasi Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu, Sabah:

16 Mac - Polis dalam peringkat akhir bagi menyiapkan kertas siasatan terhadap 27 suspek yang ditahan di daerah Semporna, dipercayai terlibat dalam insiden serangan hendap di Kampung Simunul pada 2 Mac lepas.

17 Mac - Pasukan keselamatan mencadangkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) penempatan haram di beberapa perkampungan air di daerah Semporna dibersihkan bagi memastikan kawasan itu bebas daripada anasir keganasan serta aktiviti haram seperti penyeludupan senjata api dan dadah.

17 Mac - Pasukan keselamatan Operasi Daulat menembak mati seorang pengganas Sulu dari selatan Filipina dalam operasi di Kampung Tanjung Batu.

17 Mac - Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib memberitahu 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan Operasi Daulat telah selesai dibedah siasat.

17 Mac - Pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur negeri itu, bermula di gugusan Felda Sahabat dengan menaik taraf struktur logistik.

19 Mac - Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu, tiada kecederaan dilapor dalam pertempuran itu.

20 Mac - Lapan lelaki suspek pengganas dari selatan Filipina didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, atas pertuduhan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan Seksyen 121 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

21 Mac - Sehingga kini, 268 orang ditahan kerana memasuki zon merah kawasan operasi dan pelbagai kesalahan manakala 108 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

21 Mac - Lapan warga Filipina berdepan hukuman mati dan penjara seumur hidup selepas didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas. – BERNAMA

Sumber KLIK suaragenerasibaru

ISU LAHAD DATU : SAYA DISURUH DAN DIUPAH



TAWAU 21 Mac – Seorang daripada tertuduh yang didakwa menjadi anggota pengganas yang menceroboh Sabah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak dinamakannya.

Hooland Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh mendedahkan demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas, dua daripadanya turut dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan Hooland di hadapan Hakim Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah.

Hooland turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukannya.

Sejurus kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata demikian dan segala pengakuan akan dibuat selepas diwakili peguam pada 12 April nanti.

Ketika prosiding pagi ini, Hakim Ravinthran memberi peluang kepada setiap tertuduh untuk memberitahu mahkamah berhubung pertuduhan ke atas mereka dan jurubahasa perlu menjelaskan beban hukuman bagi setiap kesalahan.

Tertuduh juga diterangkan tentang pembelaan mereka yang perlu diwakili peguam kerana tuduhan ke atas mereka membabitkan hukuman berat iaitu gantung dan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dua tertuduh itu bersama empat yang lain turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua lagi didakwa cuba melindungi pengganas.

Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agung dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.

Sementara itu, Timhar Hadir, yang juga didakwa atas kesalahan sama (menjadi anggota pengganas) memberitahu bahawa dia datang ke Malaysia pada Febuari lepas menggunakan pasport antarabangsa.

Bagaimanapun Hakim Ravinthran meminta dia tidak menyatakan selanjutnya sebelum berbincang dengan pihak peguam.

Seorang lagi tertuduh yang menghadapi tuduhan sama, Habil Suhaili merupakan tertuduh yang mengambil masa agak lama untuk memahami pertuduhan.

Dia yang kelihatan berusia lebih daripada 60 tahun tidak dipakaikan straight jacket seperti tertuduh lain dan jurubahasa membacakan pertuduhan berulang kali dalam bahasa Suluk.

Habil sempat menyatakan bahawa dia tidak melakukannya namun hakim menjelaskan pengakuan itu tidak akan direkod.

Tertuduh pertama Atik Hussin Abu Bakar yang didakwa atas tuduhan melancarkan perang dan menjadi anggota pengganas hanya memohon penjelasan hukuman yang akan dihadapinya.

Atik Hussin yang berbahasa Bajau kelihatan bersahaja seperti tertuduh lain.

Empat tertuduh lagi, Lin Mad Salleh, Basad Manuel, Kadir Uyung dan Lating Tiong hanya menyatakan nothing to say (tiada apa yang hendak dicakapkan).

Basad menghadapi dua pertuduhan yang sama seperti Atik Hussin manakala Lin hanya didakwa menjadi anggota pengganas dan Kadir serta Lating menghadapi tuduhan melindungi kumpulan pengganas.

Kesemua terduduh hanya menundukkan kepala ketika berada di kerusi sebelum dibawa ke kandang tertuduh untuk dibaca pertuduhan.

Kesemua mereka tidak dibenarkan jamin.

Sementara itu, wartawan dan jurugambar yang membuat liputan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini dikawal ketat oleh anggota polis lengkap bersenjata dan hanya seorang wartawan daripada setiap organisasi yang dibenar masuk.

Kesemua wartawan yang dibenar memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi hanya dibolehkan membawa buku nota dan pen manakala semua alat komunikasi dan peralatan lain tidak dibenarkan.

Tiada wartawan asing hadir membuat liputan prosiding hari ini.

Lapan tertuduh yang ditutup bahagian kepala dibawa menaiki lori polis kira-kira 10.10 pagi. – BERNAMA

Sumber KLIK utusan
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, 21 March 2013

HOT !!! ANWAR SOKONG TENTERA MALAYSIA, SETELAH PUAS MEMBURUKKAN MEREKA.



Selepas 15 hari berlalu dengan penuh debaran, setelah 10 orang wira negara terkorban dibunuh oleh gerila-gerila rakan baiknya, Kiram dan Nur Misuari, baru semalam Anwar teringat nak puji dan sokong?

Pada saya, Anwar dan Pakatan Haram sudah terlambat..!

Selepas mesyuarat Pakatan Haram semalam, Anwar memberitahu media mengenai sokongan pakatan pembangkang itu terhadap tindakan pihak keselamatan negara. Namun saya yakin kenyataannya itu tidak ikhlas.

Pertamanya kerana dia lewat menyatakan sokongan terhadap pasukan keselamatan yang sedang berjuang di sana. Sudah terbit keringat, sudah bermandi darah, sudah 10 nyawa dijemput ajal, baru Anwar dan Pakatan Haram terhegeh-hegeh beri kenyataan sokongan?

Mengapa tidak pada hari pertama puak-puak pembangkang itu tidak mengisytiharkan sokongan? Sebab apa? Sebab selama ini memang Pakatan Haram sering cuba memburuk-buruk dan memperlekeh imej PDRM dan ATM, bukan?

Setelah 15 hari berlalu dan melihat bagaimana gelombang kebangkitan serta sokongan tidak berbelah bagi oleh rakyat dari segenap lapisan masyarakat, barulah Anwar dan Pakatan Haram mengaku kalah dan seterusnya memuji tindakan pasukan wira negara itu?

Mengapa Anwar dan Pakatan Haram tidak menyelar, mengecam, mengutuk atau ketuk kepala Tian Chua yang menuduh insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu itu sebagai “sandiwara” yang dilakonkan UMNO dan BN?

Hanya setelah Tian Chua teruk “dibelasah” dan majoriti rakyat mengherdik Pakatan Haram maka baru Anwar nak sedar? Saya percaya, jika Anwar jadi Menteri KDN, selepas 15 hari Sabah ditawan pengganas, barulah dia akan mengambil tindakan. Itu pun belum tentu dia ada “telur” atau tidak!

Keduanya, berkemungkinan besar Anwar takut dan risau sekiranya identiti “dalang” disebalik pencerobohan itu dapat dikenal pasti. Maklumlah, satu dunia tahu dia rapat dengan Nur Misuari yang menganggap Jamalul Kiram itu bagai “abang”nya.

Lagipun, mungkin Anwar juga risau jika tindakan Tian Chua dan Sivarasa yang ke Manila beberapa hari sebelum pencerobohan itu terjadi diketahui oleh rakyat. Dia mungkin takut tujuan dan intipati “lawatan sambil belajar” kedua balacinya itu “kantoi” sekiranya disiasat, bukan?

Ketiganya, tak perlulah Anwar dan Pakatan Haram tunjuk baik depan rakyat dengan memuji pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negara. Sejarah merekodkan bahawa Anwar dan Pakatan Haram telah menghamburkan segala nista dan cacian terhadap pasukan keselamatan itu.

Rakyat masih ingat bagaimana Anwar menggelar anggota polis sebagai “anjing” dan Ketua Polis Negara sebagai “bapa anjing”. Kita juga belum lupa bagaimana Tian Chua mengigit tangan polis bagaikan “anjing” ketika ditahan, bukan?

Itu belum lagi diungkit segala tuduhan jahat yang dilemparkan pada PDRM, kenderaan polis diterbalikkan, anggota polis bermandi darah dipukul pengikut-pengikut “sultan liwat” itu dan imej PDRM yang sering menjadi mangsa kutukan para pemimpin Pakatan Haram!

Dan sekarang Anwar nak tunjuk baik pula dengan PDRM?

Sumber KLIK mediapermatangpauh

ISU LAHAD DATU : MAYAT 28 PENGGANAS SULU DIKEBUMI SEMENTARA DITUNTUT WARIS



LAHAD DATU: Kesemua 28 mayat pengganas Sulu yang disimpan di Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau akan dikebumikan sementara dituntut oleh waris mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pengebumian sementara itu akan dilakukan bagi mengatasi masalah kekurangan bilik mayat di kedua-dua hospital tersebut selain mengekang masalah kesihatan yang mungkin timbul.

Khalid yang tidak mendedahkan lokasi pengebumian itu berkata, ahli keluarga yang menuntut mayat tersebut perlu mengemukakan bukti sampel DNA mereka sepadan dengan pengganas yang terbunuh sebelum mayat itu diserahkan.

“Bagi mereka yang menuntut dari luar negara seperti Filipina mereka boleh mengemukakan tuntutan kepada Kementerian Luar untuk urusan terbabit. Manakala bagi mereka yang berada di dalam negara boleh pergi ke balai polis,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Felda Sahabat di sini, Rabu.

Mengulas mengenai Ops Daulat, Zulkifeli berkata, pasukan keselamatan masih menerusikan operasi memburu saki-baki pengganas bersenjata di kawasan Kg Tanjung Batu.

Operasi tersebut dijangkan akan diteruskan selama beberapa hari lagi.

“Kami ingin memastikan bahawa kawasan itu selamat sebelum penduduk kampung dibenarkan pulang ke rumah mereka,” katanya.

ANWAR KHIANAT RUNDINGAN DENGAN SULU TENTANG SABAH



Pengkhianatan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai dalang utama dalam krisis keselamatan di Lahad Datu yang menggugat kedaulatan negara semakin terserlah berdasarkan kepada beberapa perkembangan.

Berlandaskan reaksi dan kenyataan pemimpin-pemimpin pembangkang, mereka nampaknya tidak mahu krisis keselamatan itu berakhir tetapi sebaliknya mahu ia berterusan.

Tujuannya ialah supaya keadaan politik dan keamanan di negeri Sabah menjadi kelam kabut sehingga menimbulkan keadaan huru hara menjelang Pilihan Raya Umum ke 13.

Inilah sebenarnya yang dirancang oleh Anwar apabila bertemu dengan kumpulan pemisah Moro, Nur Misuari beberapa bulan lalu.

Sementara Anwar tidak henti henti memainkan isu-isu berkaitan Sabah seperti kehadiran pendatang asing, kad pengenalan kepada pendatang asing, royalti minyak, balak dan sebagainya, Misuari bersama-sama puak yang berlakon sebagai pewaris kesultanan Sulu pula bersiap sedia menyerang Sabah.

Bukan sahaja pengganas Sulu sudah menyebabkan 10 anggota keselamatan Malaysia terbunuh, tetapi kini dengan angkuh dan sombong tidak mahu sebarang gencatan senjata diadakan.

Bagaimana segerombolan kecil pengganas begitu berani meneruskan tindakan ganas mereka sekiranya mereka tidak mendapat sokongan daripada pihak pembangkang di negara ini.

Komplot pembangkang dengan pengganas Sulu semakin jelas apabila pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat membuat keputusan mengadakan perbincangan dengan pihak kesultanan Sulu mengenai tuntutan mereka ke atas Sabah.

Sememangnya Anwar sudah berkomplot dengan puak pengganas untuk menerima tuntutan mereka sekiranya Pakatan Rakyat menang pada peringkat pusat dalam PRU13 kelak.

Pada permukaannya Anwar seolah-olah prihatin kepada tuntutan puak kesultanan Sulu terhadap tuntutan mereka ke atas Sabah tetapi motif sebenar ialah untuk memisahkan negeri itu daripada Persekutuan Malaysia.

Anwar sebenarnya ingin menjayakan agenda untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri Kristian di tengah-tengah Nusantara.

Seperti pemisahan Timor Timor daripada Indonesia pada 1999, Sabah juga ingin dijadikan salah satu pusat utama Kristian di rantau untuk mengekang pengaruh besar Islam dan kekuatan umat Islam.

Kini Anwar juga menggunakan Misuari untuk mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia menjajah Sabah.

Apabila kerajaan tidak melayan tawaran beliau untuk menjadi orang tengah dalam kemelut keselamatan di Lahad Datu, Misuari terus menunjukkan belang sebenarnya yang mahu perang berpanjangan.

Pengkhianatan Anwar untuk memusnahkan Malaysia tidak boleh dibiarkan lagi.

Sebelum ia merebak menjadi barah yang tidak boleh dikawal, kerajaan hendaklah bertindak terhadap Anwar dan pemimpin pembangkang.

Pembangkang juga ingin mengeruhkan hubungan diplomatik dengan Filipina dengan memfitnah pihak keselamatan kononnya berlakunya kekejaman terhadap rakyat negara itu.

Namun pembangkang terus menikus dan tidak berkata sepatah pun untuk menunjukkan mereka prihatin terhadap nasib keluarga anggota keselamatan yang mati terkorban.

Malah pemimpin Pas yang jahil dan kolot bernama Harun Taib pula mempertikaikan status kematian anggota keselamatan yang beragama Islam dengan mengatakan mereka hanyalah ‘syahid dunia’.

Bagi mereka hanya Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya sahaja yang benar-benar syahid kerana menentang kerajaan UMNO-Barisan Nasional.

Dengan mendakwa apa yang berlaku di Sabah adalah sandiwara UMNO dan cara kerajaan untuk mengalihkan pandangan daripada isu pemberian kad pengenalan biru kepada pendatang asing, pemimpin PKR seperti Tian Chua sudah pada awal-awal lagi cuba meracun pemikiran rakyat.

Kenyataan itu bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan tetapi adalah sudah dirancang untuk memberi imej negatif kepada pasukan keselamatan negara dengan matlamat untuk menurunkan semangat juang mereka.

Strategi Anwar untuk menarik keluar Sabah daripada Malaysia akan memakan dirinya sendiri.

Ini kerana kerajaan sedang dalam proses mengumpul sebanyak mungkin maklumat perisikan untuk membongkar dalang atau pihak yang menggaut keuntungan daripada krisis ini.

Apa yang berlaku di Lahad Datu bukan berlaku secara spontan atau tanpa sebarang motif tetapi adalah rancangan licik yang melibatkan pembangkang, puak pemisah, kesultanan Sulu dan gerakan antarabangsa Zionis-Yahudi.

Kiram dan geng bersenjatanya hanyalah kuda tunggangan yang tidak mempunyai apa-apa nilai tetapi berguna setakat untuk dieksplotasikan kebodohan dan kejahilan mereka.

Sumber KLIK suaragenerasibaru

Wednesday, 20 March 2013

INTERNATIONAL COURT OF JUSTICE TELAH SAHKAN SABAH MILIK MALAYSIA




Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pertikaian wilayah yang melibatkan Ligitan dan Sipadan pada 17 Disember 2002 sebenarnya telah mengiktiraf hak Malaysia dan kedaulatan ke atas Sabah serta pulau di sekitarnya. Ia secara tidak langsung telah menyebabkan permohonan Kesultanan Sulu terhadap Sabah tidak lagi relevan.

Menurut laporan kehakiman ICJ berhubung pertikaian tuntutan terhadap Pulau Ligitan dan Sipadan mengatakan, di bawah undang-undang antarabangsa yang lama, hak wilayah itu merupakan hak eksklusif pemerintah Negeri. Tanah adalah harta berdaulat untuk dipertahankan selaras dengan undang-undang yang relevan.

Namun di bawah undang-undang antarabangsa yang baru, siasatan itu semestinya mencakupi maksud yang lebih luas, khususnya dalam konteks dekolonisasi. Khususnya, konsep hak “rakyat”, untuk menentukan pilihan sendiri

Sebagai contoh, dalam kes mengenai Timor Timur (Portugal v Australia), ICJ telah mengiktiraf prinsip penentuan sendiri yang menjadi “salah satu prinsip penting dalam undang-undang antarabangsa kontemporari” (ICJ Laporan tahun 1995, p.102, perenggan 29).

Malah menurut “Deklarasi Pemberian Kemerdekaan kepada Rakyat dan Negara Penjajah”, resolusi Perhimpunan Agung 1514 (XV), yang digunapakai pada 14 Disember 1960, adalah merupakan asas kepada proses dekolonisasi. Ia adalah terpakai kepada semua “wilayah yang belum mencapai kemerdekaan” dan membuktikan bahawa rakyat mempunyai hak untuk memilih”.

Mengikut sejarah, Sabah yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Borneo Utara telah diserahkan oleh Kesultanan Sulu kepada Syarikat Overback pada tahun 1880. Seterusnya syarikat terbabit telah memberikan hak milik tersebut kepada kerajaan Britian yang akhirnya diserahkan kepada Malaysia segala hak Kesultanan Sulu telah terlupus mengikut perundangan antarabangsa.

Sejarah juga turut membuktikan bahawa Kesultanan Sulu ketika insiden antara 19 April 1851 dan 26 Jun 1946 telah melepaskan dan menyerahkan semua hak-haknya ke negeri terkenal dengan jolokan Di Bawah Bayu itu.

Malah pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya itu dibentuk hasil rundingan di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Britain pada November 1961. Selari dengan kehendak kerajaan Filipina pada masa itu apabila permohonan mereka ke atas Sabah tidak mendapat persetujuan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tujuan penubuhan suruhanjaya itu untuk meninjau pandangan penduduk di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak mengenai gagasan Malaysia.

Hasil laporan suruhanjaya yang disahkan perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menunjukkan, 80% penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia yang kemudian telah diisytiharkan pada 16 September 1963.

Kesimpulannya, apa juga alasan yang cuba dibangkitkan oleh waris Kesultanan Sulu dan kerajaan Filipina dalam menuntut hak kedaulatan Sabah adalah merupakan satu nostalgia silam yang tidak mungkin dapat berubah.

Sumber KLIK mykmu

Tuesday, 19 March 2013

PAS BERHAK TENTUKAN SYAHID PA.SUKAN KESELAMATAN DI SABAH




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoal agenda di sebalik Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Harun Taib menyifatkan anggota dan pegawai keselamatan dalam insiden pencerobohan dan tembakan di Lahad Datu, Sabah sebagai 'syahid dunia'.

Beliau berkata kenyataan Harun pada Sabtu lepas di Kuala Terengganu itu amat bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (Jawatankuasa Fatwa) yang bersidang pada 6 Mac.

Perdana menteri berkata Jawatankausa Fatwa telah menyatakan anggota keselamatan yang terkorban dalam isu pencerobohan di Sabah tergolong dalam 'syahid akhirat' kerana terkorban dalam mempertahan keselamatan nyawa, harta, keluarga, maruah dan kedaulatan negara.

“Yang kita rasa kesal, tentang mati syahid pun nak dipolitikkan. Nak bercanggah pula dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa. Apakah agenda sebenar pihak pembangkang? Seorang dalam kalangan pemimpin pembangkang yang mulut celupar mendakwa itu sebuah sandiwara kerajaan pimpinan Umno.

“Ini bukan masanya untuk kita menjadikan soal begitu serius yang melibatkan kedaulatan negara, nyawa pasukan keselamatan, maruah negara sebagai bahan politik untuk ditendang ke sana sini mengikut nafsu politik masing-masing,” katanya pada majlis penyerahan surat tawaran menunaikan fardu haji kepada calon program khas haji 1434H/2013 tajaan Yayasan 1MDB di Putrajaya.

Najib juga menyeru setiap rakyat Malaysia supaya menunjukkan kesetiaan kepada negara.

Sumber KLIK mediapermatangpauh

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...