Pages

Wednesday 3 April 2013

LAHAD DATU : OP DAULAT DITERUSKAN WALAU PRU DIADAKAN




LAHAD DATU: Operasi Daulat akan tetap diteruskan bagi membina keyakinan penduduk tentang aspek keselamatan walaupun wujud kemungkinan Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum (PRU) ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata operasi ini memerlukan pasukan keselamatan untuk terus bersiap siaga di Pantai Timur Sabah sehingga tahap keselamatan di paras tertinggi dan saki-baki penceroboh militan Sulu dihapuskan.

“Kita tidak tahu bila PRU. Di pihak kita, tugas menjaga keselamatan kampung-kampung yang terlibat adalah menjadi keutamaan.

“Ini termasuk anggota kita ditempatkan dan berkampung di kawasan rumah penduduk,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalan Pengarah 1 Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Abd Rahman Hussin.

Beliau berkata selain menambah anggota yang ada, aset juga dikekalkan di kawasan operasi dan kawasan kampung yang telah dikenal pasti sebelum ini bagi menambah kekuatan pasukan keselamatan.

Zulkifeli berkata Operasi Daulat juga akan diteruskan sehingga Kawasan Keselamatan Khas Sabah Timur (ESSCOM) dilaksanakan sepenuhnya.

Mengenai operasi Daulat di Felda Sahabat, beliau berkata operasi itu berada di peringkat ketiga iaitu di tahap menstabilkan keadaan keselamatan.

“Operasi ini bermula dari tahap satu iaitu ofensif dengan pasukan keselamatan membanteras penceroboh kemudian kepada tahap dua iaitu penggeledahan iaitu mencari pengganas tersebut,” katanya.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah (ESSZONE), yang meliputi 10 daerah sebagai landasan perundangan bagi penubuhan ESSCOM.

Daerah berkenaan ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Zulkifeli turut mengumumkan Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian dan Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan, yang ditutup kerana berada di zon merah operasi Daulat, akan dibuka Isnin ini.

Keputusan itu dibuat setelah pihaknya mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, yang turut melawat Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan hari ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...