Pages

Thursday 18 April 2013

KERAJAAN SEDIA BELANJA BESAR UTK PENDIDIKAN BAGI LAHIR MODAL INSAN - MUHYIDDIN




KULAIJAYA — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersedia melabur peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan sebagai usaha membangunkan rakyat dan negara.

Timbalan perdana menteri berkata perkara itu telah pun diberikan keutamaan oleh kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan bagi melahirkan generasi yang berpengetahuan tinggi.

“Kalau kerajaan belanja berbilion untuk pendidikan tidak mengapa kerana ia dapat menjana modal insan. Kita perlu modal insan kerana ia boleh membangunkan bidang ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya pada majlis pecah tanah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu di sini Selasa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan akan memastikan bidang pendidikan dilaksanakan secara adil di seluruh negara.

“Kita (kerajaan) bukan sahaja mahu rakyat di bandar dilengkapi kemudahan pendidikan, kita juga bersikap adil di mana sahaja (di luar bandar dan pedalaman) bagi memberi pembelaan yang saksama (kepada rakyat)…inilah kerajaan yang adil,” katanya.

Beliau berkata kerajaan terus melaksanakan pelbagai perubahan termasuk transformasi terhadap pendidikan bagi memacu Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih maju pada masa hadapan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak jemu dan bekerja keras untuk menjadikan Malaysia negara maju. Ini bukan mudah sebab dulu (sebelum merdeka) kita tidak ada apa-apa. Penjajah tidak kisah kalau kita tiada ilmu.

“Tetapi Malaysia yang dulunya mempunyai tujuh juta penduduk dan kini 28 juta penduduk, telah maju dalam semua bidang dan masyarakat antarabangsa memandang tinggi terhadap kita,” kata Muhyiddin.

Mengenai SMK Bukit Batu, beliau berkata pembinaan sekolah berkenaan yang melibatkan kos sebanyak RM30 juta dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata pembinaan sekolah itu di kawasan seluas kira-kira enam hektar akan dilengkapi 24 bilik darjah yang dapat menampung hampir 1,000 pelajar.

Timbalan perdana menteri berkata pada masa ini, penduduk di Bukit Batu terpaksa menghantar anak masing-masing ke SMK Kelapa Sawit yang terletak sejauh 14km dari petempatan mereka dan keadaan itu menyukarkan.

“Pembinaan sekolah ini dapat memberi keselesaan kepada anak-anak yang sebelum ini terpaksa berjalan kaki dan mengambil masa yang lama untuk pergi dan balik ke sekolah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...