Pages

Monday 15 April 2013

LAHAD DATU : OTAI TERKENANG PENUBUHAN RASCOM DI SARAWAK.


Pencerobohan Di Lahad Datu: Warga Emas Terkenang Penubuhan RASCOM Di S’wak

KANOWIT – Jam 10 malam 18 Feb 1972, 14 keluarga di rumah panjang Lat, Nanga Dap, sejam perjalanan menaiki bot panjang dari sini, baru hendak masuk tidur, bila anjing di rumah panjang itu mula menyalak tidak berhenti-henti.
Warga emas Saun anak Skudan, 82, masih terkenang peristiwa beliau dan penghuni lain tiba-tiba mendapati sekumpulan lelaki dan wanita bersenjata berpakaian celoreng hijau gelap berada di luar pintu dan dalam kedudukan strategik di luar rumah panjang itu.



Mengintai di lubang dinding, Saun nampak dua senjata besar (mesingan) yang diletakkan di ruai (ruang legar) dan menghadap biliknya (unit keluarga) dan bilik abangnya, Ngalang.

Seorang wanita bergigi jarang berusia lingkungan 30-an, dikatakan ketua kumpulan bersenjata itu, meminta mereka membuka pintu untuk ‘berbual’ seketika, kata Saun yang terkenang kembali pengalaman beliau berdepan dengan pengganas komunis 41 tahun lepas susulan pencerobohan terbaru pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Saun enggan membuka pintu kerana mengetahui mereka adalah pengganas komunis. Dia telah lama mengetahui tindakan ganas mereka jika provokasi dilakukan.

Bimbang perkara yang lebih buruk mungkin terjadi, anggota keluarganya membuat sekatan di pintu itu dari dalam dengan menyusun gong tembaga dan apa sahaja objek berat yang mereka temui. Yang lain menyembunyikan dua senapang patah yang ada dalam rumah.

Saun memberitahu Bernama keluarganya menjadi sasaran kerana mendiang suaminya Lias anak Kana, ketika itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri 1969 sebagai calon Bebas.

“Selaku ADUN, dia merupakan sasaran utama kempen mereka untuk menakutkan penduduk. Pengganas itu datang semata-mata mencarinya tetapi suami saya berada di Kuching menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri,” katanya.

“Berjam-jam saya merayu wanita itu supaya meninggalkan kami dengan memberi alasan terdapat banyak kanak-kanak bersama saya. Dia nampaknya mengalah kerana ketika itu itu dia bercakap dengan seorang wanita lain, dan saya pula bertekad memastikan mereka pergi.

“Tetapi jika mereka menyerbu masuk malam itu, sudah pasti pertumpahan darah tidak dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata selain menghalang saudara lelakinya, dia juga terpaksa memujuk mendiang bapanya yang telah berumur, seorang pemburu kepala pada masa mudanya, supaya tidak melawan pengganas itu yang ketika itu hanya bersenjatakan duku ilang (pedang perang).

Pengganas itu akhirnya beredar sebelum subuh tetapi merampas dua senapang patah dan beberapa kampit beras daripada dua keluarga di situ.

Mereka juga memaksa seorang lelaki tua mengikuti mereka kerana menantunya menyertai ‘Pengakap Sempadan’, tetapi kemudian melepaskannya.

Pengganas itu memaksa dua lelaki mengikuti mereka, yang telah ditahan dua hari kerana mungkin menganggap mereka berpotensi menjadi rekrut.

“Mereka meninggalkan tanda di belakang…bendera merah ikonik mereka dan bom buatan sendiri yang dipasang di sepanjang laluan papan ke sungai,” kata Mancha anak Ngalang yang pertama sekali tiba keesokannya.

Mancha seorang pesara merupakan bekas pengurus kanan Pihak Berkuasa Pembangunan Bintulu (Perancangan Bandar) dan ketika kejadian itu pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kerajaan Kanowit.

Katanya, kira-kira pukul 10 pagi, bot panjang yang membawa sekumpulan Pengakap Sempadan pulang daripada operasi di Nanga Ngemah, diketuai mendiang ASP Wilfred Gomez Malong yang melalui rumah panjang itu.

Melihat kibaran bendera merah di laluan papan itu, Gomez, penerima pingat PGB (Panglima Gagah Berani), lantas menyedari rumah panjang itu telah dikunjungi ‘tetamu ganas’ pada malam itu.

Beliau berhenti untuk memeriksa situasi di situ dan kemudian menelefon pangkalan tentera di bandar Kanowit meminta bantuan mengalihkan bom, yang ditemui bukan sahaja di laluan papan tetapi turut dipasang di sekitar kawasan Sekolah Rendah Kerajaan Nanga Dap Kanowit.

Seminggu kemudian pada 25 Feb, tersebar berita mengenai sekumpulan pengganas diketuai wanita yang sama, bergigi jarang, telah menuju ke Ulu Batang Oya di mana mereka menembak mati Penghulu Imban anak Medan.

Mangsa didakwa melaporkan kehadiran pengganas itu di kawasan berkenaan kepada kerajaan.

Saun kemudian kehilangan penghuni di rumah panjang itu, Matahari, dengan mayatnya tanpa kepala ditemui di kebun kecil getah berhampiran.

Insiden itu menyebabkan kerajaan menghantar tentera untuk melindungi rumah panjang Saun. Beberapa bulan kemudian, penduduk rumah panjang yang tinggal di kawasan pedalaman ditempatkan di Nanga Dap.

Kem Pengakap Sempadan ditubuhkan untuk menyediakan perlindungan keselamatan yang amat diperlukan oleh penduduk.

Penduduk lain ditempatkan di pusat pemindahan Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) di Naga Sekuau di Sibu, Nanga Taada, Nanga Ngungun dan Nanga Jagau di Kanowit dan Rantau Panjai dekat Sibu.

Saun dan Mancha bersetuju tentang usaha kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu dan meningkatkan kehadiran anggota keselamatan terdiri daripada polis dan tentera adalah usaha terbaik.

Usaha kerajaan itu mengingatkan kembali kepada mereka hari-hari yang dilalui di bawah RASCOM yang diwujudkan untuk menyediakan keselamatan bagi penghuni rumah panjang di kawasan pedalaman dan membebaskan mereka daripada gangguan serta ugutan.

“Apabila RASCOM ditubuhkan pada 26 Mac 1972, kita tidak lagi berasa takut pengganas akan datang merampas makanan, senjata dan mencari rekrut. Di petempatan baharu, kami disediakan perubatan, kebajikan dan perkhidmatan lain.

“Pengumpulan dan rancangan petempatan semula dan strategi tentera serta polis akhirnya memaksa pengganas menyerah diri dan meletakkan senjata dan RASCOM dibubarkan pada 5 April 1995,” kata Mancha.

–BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...