Pages

Saturday 11 May 2013


Akhirnya Azmin Ali Isytihar Perang Dewan Wan Azizah




Sejak dari petang semalam, pentas politik kecoh seketika apabila blog dan portal pembangkang seperti Malaysiakini melaporkan kononnya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali akan membuat pengumuman untuk keluar parti. Tambah memeranjatkan lagi apabila, beberapa orang ahli parlimen dari PKR turut dikatakan akan mengambil tindakan yang sama sebagai tanda sokongan terhadap ‘anak emas’ Anwar Ibrahim itu.

Malah pihak media dan para blogger turut menerima jemputan untuk menghadiri sidang akhbar khas yang akan dilakukan oleh Azmin di salah sebuah hotel sekitar Kuala Lumpur. Ia semakin mengesahkan laporan yang telah dikeluarkan oleh portal yang menjadi lidah rasmi untuk pakatan pembangkang itu sebelum ini.

Namun pada sebelah paginya, pihak media sekali lagi menerima jemputan yang memaklumkan program sidang
akhbar tersebut telah ditukarkan ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya. Sejurus menerima jemputan tersebut, penulis lantas tersenyum sinis, kerana merasakan ia bakal menjadi satu lagi drama dan sandiwara lakonan ‘anak emas’ Anwar itu.

Nyata telahan penulis tepat, apabila Azmin mengumumkan akan kekal bersama parti tersebut dan berita mengenai perletakan jawatannya hanyalah merupakan permainan dari media pro Umno. Sungguh hebat lakonan yang dipentaskan oleh Azmin sebentar tadi, kerana seperti kelazimannya setiap kali berdepan dengan isu, mereka dengan pantas akan cuba mengaitkan Umno untuk dijadikan sebagai ‘kambing hitam’.

Sedangkan pada hakikatnya, isu tersebut telah dimainkan oleh portal dan blog yang cenderung kepada pembangkang. Penulis cuba bertanyakan dengan beberapa orang kenalan rapat Azmin bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai isu yang dibangkitkan ini.

Menurut sumber tersebut, isu ini dibangkitkan oleh Azmin sendiri yang nyata kecewa dengan tindakan Anwar dan Wan Azizah yang menolak untuk mencalonkan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor (MB). Sedangkan menurutnya, Anwar sebelum ini telah berjanji untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada dirinya.

Namun disebabkan desakan yang kuat dari Wan Azizah selaku Presiden parti, Anwar akhirnya terpaksa akur engan kehendak tersebut bagi mengelakkan masalah yang lebih besar ditimbulkan oleh ‘isteri kesayangannya’ itu. Lihat sahaja bagaimana sebelum ini, Anwar akhirnya terpaksa akur dan tunduk dengan kehendak Azizah yang bertegas mahu Khalid diletakan bertanding di kerusi DUN walaupun mendapat tentangan hebat dari Azmin.

Kegagalan Anwar untuk tunduk dengan desakan isterinya sebelum ini itu telah menyebabkan Presiden PKR itu memboikot program jelajah Anwar selama 3 hari, sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan penyokong mereka. Namun sejurus selepas pengumuman Anwar untuk mencalonkan Khalid bagi kerusi DUN Pelabuhan Klang, kelibat Azizah kembali muncul mengiringgi program jelajah Anwar di Sabah dan Sarawak.

Malah Azizah sendiri sebelum ini turut mengumumkan untuk bertanding bagi kerusi DUN di Selangor sebagai alasan untuk menyekat kemaraan Azmin. Kerana secara lojiknya, sebagai Presiden parti dia merasakan lebih layak untuk diletakkan sebagai MB Selangor. Di tambah dengan alasan perlantikan tersebut akan menyebabkan PKR dipandang tinggi dan menjadi pembuka sejarah kerana meletakkan wanita sebagai calon MB yang pertama.

Isu pergeseran antara Azmin – Azizah ini, akhirnya reda buat seketika apabila semua penyokong mereka memberikan tumpuan kepada kempen pilihanraya. Ia kembali hangat apabila Azmin melihat Anwar cenderung dengan desakan Azizah yang mahukan agar Khalid kembali diberi mandat mentadbir Selangor.

Malah sidang akhbar yang diadakan sebentar tadi telah dijadikan medan untuk Azmin menghentam Khalid yang dikatakan GAGAL melaksanakan tugasnya dengan betul. Pelbagai isu dibangkitkan sehingga ada dikalangan petugas media yang merasakan Azmin sedang ‘gila meroyan’.

Tidak cukup dengan itu, Azmin turut menjadikan Azizah sebagai tempat untuk melampiaskan kemarahaannya kerana dikatakan telah menyerahkan perlantikan Khalid sebagai MB kepada Istana tanpa persetujuan PKR negeri.

Menurut sumber tersebut, Azmin berang apabila mesyuarat tergempar yang dipengerusikan olehnya pada Khamis lalu telah bersetuju untuk mengemukakan 3 nama bagi dipertimbangkan oleh pihak Istana sebagai MB. Namun Azizah dikatakan enggan menandatanggi surat tersebut yang mencalonkan nama Azmin, Nik Nazmi dan Shuhaimi Shafie sebagai MB Selangor.

Ekoran tindakan tersebut, Azmin mendakwa Azizah selaku Presiden telah mengamalkan nepotisme dan pilih kasih. Malah dia turut menempelak Pas dan DAP yang sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan terbuka menyokong Khalid Ibrahim.

Kesimpulannya, kenyataan Azmin sebentar tadi boleh dilihat sebagai permulaan ‘perang’ dengan kumpulan Azizah. Bersamalah kita tunggu dan saksikan episod seterusnya drama dan sandirwara ini yang sudah pasti menarik untuk dipertontonkan kepada rakyat khususnya di Selangor.

Buat rakyat Selangor yang telah mengundi pakatan, tahniah kerana anda semua telah berjaya membuka satu lagi episod baru perbalahan dan perebutan kuasa ini.

Sumber mykmu

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...