Pages

Thursday 7 March 2013

SPEECHLESS....NICOL KEKALKAN GELARAN NO.1 SEBANYAK 80kali BERTURUT-TURUT.


Nicol David masih unggul mengekalkan takhta pemain skuasy No. 1 dunia.

KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David masih terlalu unggul apabila mengekalkan takhta No. 1 dunia buat bulan ke-80 berturut-turut, namun kecemerlangannya gagal dituruti juara Asia, Mohd. Nafiizwan Adnan yang mengalami kejatuhan enam anak tangga pada ranking Persatuan Skuasy Dunia (PSA) bagi bulan Mac. 

Biarpun mengakui, pemain-pemain generasi baharu seperti Raneem El Weleily, Nour El Sherbini (Mesir), Camille Serme (Perancis) serta Low Wee Wern sudah semakin menghambatnya, namun Nicol jelas masih berada dalam kelas berbeza pada usia yang bakal mencecah 30 tahun, 26 Ogos ini.

Nicol mungkin dikejutkan oleh Raneem pada perlawanan akhir Cleveland Classic, Februari lalu tetapi kekalahan itu tidak menggugat kedudukannya sebagai pemain No. 1 dunia dengan mengumpul 27,145 mata, jauh meninggalkan Raneem yang menghuni tangga kedua dengan 16,172.5 mata.

Juara dunia tujuh kali itu tidak pernah melepaskan takhta tersebut sejak merampasnya pada Ogos, 2006. Jaguh England, Laura Massaro kekal di ranking ketiga dunia dan pemain remaja berusia 17 tahun, Nour di tangga keempat.

Seorang lagi bintang England, Alison Waters menghuni tangga kelima dunia, manakala bintang muda negara, Wee Wern mengekalkan kedudukan keenam, satu anak tangga di depan pemain New Zealand, Joelle King, diikuti Jenny Duncalf, Serme dan Annie Au dari Hong Kong.

Sementara itu, kegagalan melepasi pusingan pembukaan dalam tiga kejohanan terakhir yang disertai menyebabkan Nafiizwan jatuh ke tangga ke-39 dunia.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang mengejutkan Beng Hee ketika muncul juara Asia dua tahun lalu gagal melepasi halangan pertama pada Terbuka Amerika Utara, Motor City dan Kejohanan Juara-Juara.
Sasaran Nafiizwan untuk merampas gelaran pemain No. 1 Malaysia masih jauh daripada gapaian selepas jaguh veteran berusia 33 tahun, Ong Beng Hee kekal memegang status tersebut dengan tidak berganjak daripada ranking ke-22 dunia.

Pemain muda negara, Muhd. Asyraf Azan mendaki lapan anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-59 dunia, manakala Ivan Yuen turun sembilan anak tangga ke ranking 73, diikuti Kamran Khan di tangga ke-107, jatuh lapan anak tangga.

Nafiizwan bagaimanapun berpeluang untuk memperbaiki kedudukan apabila bertanding pada Piala Kuwait, yang berlangsung dari 8-14 Mac ini.

Sumber KLIK utusan
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...